Susunan Suzan Ahmad
Ketrampilanmendapat perhatian selepasmemberikan persembahan hebat dalam American Idol dan filem Dreamgirls sehingga berjayameraih Oscar
BERTUBUH tembam bukan lagi satu masalah untuk menjadi bintang terkenal. Jennifer Kate Hudson berjaya mencetuskan fenomena baru dalam dunia nyanyian dan lakonan apabila filem muzikal Dreamgirls mendapat pengiktirafan dalam pelbagai anugerah besar. Dia kini seorang ikon baru di kalangan selebriti kulit hitam.
Dilahirkan di Chicago, Illinois, tiada siapa menduga gadis periang bersuara lantang ini mampu melonjak namanya melangkaui ribuan bakat baru dan lama sehingga dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dalam Academy Awards Ke-79, baru-baru ini.
Padahal, kalau hendak diikutkan, nyanyian sebenarnya hadir dulu dalam kamus hidupnya. Masih ingat lagi ketika dia menjadi finalis American Idol musim ketiga?
Jennifer, 25, awalnya bukanlah calon pilihan walaupun terpilih dalam kumpulan suku akhir pertama pertandingan itu. Dia hanya terpilih ke pusingan wildcard apabila juri Randy Jackson begitu tertarik dengan kemampuannya lalu menjadi finalis.
Jennifer seterusnya bertungkus lumus untuk meraih populariti di kalangan penonton kerana dia antara peserta
dengan jumlah undian terendah. Bagaimanapun selepas membuat perubahan dalam pemilihan lagu, dia kembali menjadi antara yang popular. Antara persembahan Jennifer yang begitu menyentuh hati adalah ketika mendendangkan lagu Sir Elton John, Circle of Life pada 6 April 2004.
Saat itu begitu bermakna bagi Jennifer kerana juri Simon Cowell pula berkata Jennifer akhirnya berjaya membuktikan bahawa dia antara calon terbaik Top 12. Pada 21 April, 2004, Jennifer menjadi orang keenam daripada 12 finalis yang diundi keluar, menjadikan dia menduduki tempat ketujuh.
Kini, apa yang jelas, sejak dinobatkan dalam Academy Awards lalu, Jennifer berjaya membuka mata banyak pihak. Selepas melihat persembahannya dalam Dreamgirls, Simon Cowell sekali lagi merakamkan ucapan tahniah dan ia ditayangkan secara live dalam program The Oprah Winfrey Show.
Jennifer turut melakar sejarah apabila menjadi wanita Afrika-Amerika ketiga menghiasi kulit majalah Vogue isu Mac 2007. Lihat saja perubahan drastik Jennifer dulu dan sekarang. Dialah sebenar-benarnya seorang dreamgirl!










